Pages

Wednesday, March 16, 2011

Fokus & Optimis Dalam Berdoa


Hidup ini ujian. Hidup ini cabaran.

Ada orang yang optimis,dengan tenang dia berkata “hidup penuh dengan cabaran, baru ada life!”

Ada juga orang yang tidak pernah letih merintih,tak habis-habis merungut ”susah betul hidup ini,aku sudah tidak tahan lagi!”

Hidup ini satu perjalanan. Perjalanan sementara yang disusun tuhan untuk menguji setiap manusia ciptaaNya,siapa yang layak mendapat ganjaran yang dijanjikan. Ganjaran yang kekal abadi nikmatnya,selama-lamanya.

Ya,selama-lamanya..

al-Qur’an dan as-Sunnah tuhan turunkan sebagai peta dan buku panduan,supaya manusia tahu cara dan jalan mengendalikan kehidupan dan mentadbir bumi mengikut kehendakNya.

Di samping itu,tuhan juga ciptakan manusia ini dengan beberapa ciri-ciri dasar yang dikongsi oleh kesemua mereka. Iaitu sering lupa dan tidak terlepas daripada membuat kesilapan.

Oleh itu,ada dua talian hayat yang dibekalkan tuhan kepada hamba-hambaNya, untuk dimanfaatkan sepanjang perjalanan yang mencabar ini.

Setiap kali lupa dan silap,manusia diberikan peluang seluas-luasnya untuk kembali kepada tuhan,kembali kepadaNya menggunakan kedua-dua talian hayat ‘bebas tol’ ini.

Taubat dan Doa

Kalau kita kenang-kenang semula kisah-kisah hidup kita,saat-saat kita diuji itulah saat-saat yang paling nikmat yang pernah kita lalui dalam berdoa dan bertaubat kepadaNya. Kadang-kadang bila kita ini diuji,perkara-perkara yang sebelum ini kita nampak biasa,akan kelihatan jelas bertapa dosa dan silapanya perkara tersebut. Memang ada masa,tuhan uji kita sebab nak ajar kita supaya  tak buat lagi perkara tersebut.

Tetapi dalam banyak keadaan,tuhan uji kita sebab sayang kepada kita,mana tidaknya,bila diuji walaupun sedikit,waktu itulah kalimah puja dan puji kita kepadaNya basah meniti dibibir dan subur mekar dihati. Setiap patah perkataan dalam doa kita pun menjadi begitu indah dan bermakna. Taubat pula MasyaAllah,feeling tak terkata…

Bila kita berada dalam keadaan runsing dan risau,masa itulah doa kita menjadi betul-betul berharga,jauh nak dibanding dengan doa-doa kita masa kita tenang dan ceria.

Sebab itu orang yang kuat imanya, serta mengabdikan diri berkhidmat untuk agama Allah,keseluruhan hidup mereka itu dilihat dengan dimensi ujian.Senang pun ujian,susah pun ujian. Dan dimensi ujian inilah yang  sentiasa membuatkan mereka berpaut pada rahmat dan cinta Allah Azza Wa Jalla.

Semakin kuat mereka diasak dengan ujian,semakin kuat cinta mereka kepada tuhan.

Allah dan RasulNya mengajarkan kita beberapa hal berkaitan dengan doa. Jikalau difahami betul-betul,doa ini ialah sumber motivasi dan booster semangat bagi orang-orang yang beriman. Dengan doa,kepercayaan dan pergantungan kita menjadi mutlak kepada Allah Azza Wa Jalla.

Kita diajarkan agar optimis dan fokus dalam berdoa,yakni yakin dan percaya ketika mana kita mengadu dan meminta kepada Allah,Allah akan perkenankan permintaan kita.

 Firman Allah Subhana Wa Ta’ala:


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." [al-Baqarah 2:186]

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam :

ادعوا الله تعالى وأنتم موقنون بالإجابة واعلموا أن الله لا يستجيب دعاء من قلب غافل لاه
“Berdoalah kepada Allah Ta’ala sementara kalian yakin doa kalian akan dikabulkan. Ketahuilah,sesungguhnya Allah tidak akan mengabulkan doa dari hati yang lalai dan lengah” [Hadith Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim daripada Abu Hurairah]

Jadi teruskan lah berdoa dengan fokus dan yakin,yakin dengan janji Allah Azza Wa Jalla.

**Sebenarnya saya buat posting ini sebab nak kongsikan satu video Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang bertajuk Taubat dan Doa. Tetapi saya duk tulis panjang-panjang ini sebab nak memperkuatkan lagi semangat dan keyakinan dalam diri saya. Saya tulis je lah apa saja yang saya rasa nak tulis (maaflah kalau entah apa-apa).

Semoga Allah Azza Wa Jalla kuatkan kita untuk menelusuri semua ujian dan kerisauan yang datang silih berganti mewarnai hidup ini.

Semoga posting ini ada manfaatnya buat semua,terutamanya diri saya.

Ceramah ini Dr Asri sampaikan dengan sepontan. Sungguh menyentuh hati…






Sekian


Allahu A'lam


azlanshah | 16mac2011
Irbid Jordan

1 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails