Pages

Friday, March 25, 2011

Garang?


Segala puji bagi Allah Azza Wa Jalla,tuhan sekalian alam.Tuhan yang merezekikan saya dengan sahabat-sahabat yang sangat baik,sahabat-sahabat yang tidak pernah jemu untuk saling nasihat menasihati ke arah kebaikkan. Jika dikenang semula pengalaman sepanjang kembara ilmu sarjana muda yang sarat dengan pelbagai peristiwa ini,jelas akan bertapa nikmatnya hidup ini apabila kita dikelilingi oleh insan-insan soleh, yang teguh menjadi sumber kekuatan dan motivasi buat diri.

Nasihat menasihati sesama teman-teman sudah lama menjadi budaya dikalangan kami. Adalah satu perkara yang sangat pelik bagi kami untuk melihat mana-mana sahabat kami yang melakukan kesilapan,lalu kami berdiam diri. Apatah lagi apabila melihat ada sahabat yang sedang melalui fasa sukar dalam hidup,lalu kami tinggalkannya keseorangan dan buat tidak peduli. Semestinya ia juga menjadi budaya bagi semua insan yang bersahabat tanpa sebarang kepentingan duniawi. Semoga budaya ini terus mekar mewarnai dunia persahabatan kita semua.

Cuma baru-baru ini,saya mendapat satu nasihat yang agak ganjil daripada seorang sahabat,dan nasihat itulah yang telah menggerakkan saya untuk berfikir dan menulis artikel ini. Bukanlah tujuan saya menulis ini untuk menjawab atau menolak nasihatnya,tetapi ia adalah untuk mengembangkan lagi idea dan sudut pandangan saya berkaitan dengan nasihat tersebut.

Saya dinasihatkan agar tidak bersikap GARANG sewaktu berkomunikasi dengan jantina yang berbeza. Katanya,hinggakan ada yang berasa takut untuk menghubungi saya walaupun ada urusan kerja penting yang perlu dibincangkan. Saat mendapat nasihat ini,respon saya yang pertama ialah saya tersenyum walaupun sewaktu itu saya sangat keletihan dek baru sahaja pulang dari menjawab soalan peperiksaan subjek Bahasa Arab 2 yang telah mendera mental saya dengan begitu hebat.

Saya rasa,nasihat ini lahir mungkin kerana gaya bahasa ‘monotone’ yang saya gunakan sewaktu berkomunukasi dengan jantina yang berbeza,dan mungkin juga kerana tulisan-tulisan saya yang bebas daripada simbol-simbol emosi atau lebih dikenali sebagai smiley. Itu bukanlah bermaksud saya tidak tahu guna gaya bahasa dan simbol-simbol itu semua,tetapi gaya ceria happy go lucky sewaktu berkomunukasi telah saya khaskan hanya buat insan-insan yang istimewa dan insan-insan yang boleh untuk saya berbuat demikian.

Mengapa? Nanti saya ceritakan.

Sebelum itu,saya tanyakan kepada salah seorang teman rapat saya.”Ada orang kata aku ini garang,betul ke?”

“Kalau kau pun sudah dikatakan garang,aku ini apa? Bengis?” soalnya bersahaja. Seperti ingin menegaskan bahawa dirinya lebih ketat dalam perkara ini.hehe. Saya hanya tersenyum.

Perkara berkaitan dengan adab pergaulan antara lelaki dan perempuan ini sudah banyak dibincangkan,sama ada dialam nyata mahupun dialam maya. Saya juga sebenarnya tidak gemar untuk menulis tentang hal ini,kerana ia satu isu yang subjektif dan luas,bahkan sangat mudah untuk kita tersilap cara dalam menegur dan tanpa sedar membuatkan ramai orang terasa hati. 


Namun begitu,kali ini saya memujuk diri untuk menulis juga. Cuma dalam tulisan ini,saya tidak bercadang untuk membawakan dalil-dalil ataupun kata-kata ulama’ berkaitan dengan hal pergaulan,tetapi saya ingin kongsikan satu sudut pandang yang sudah lama bersarang dalam fikiran saya.Saya fikir mungkin ia lebih santai dan mudah untuk difahami oleh orang kebanyakkan.

Bayangkan.

Saya akan cuba untuk anjakkan fikiran dan imiginasi kita semua ke satu alam yang menjadi impian setiap insan yang normal. Iaitulah alam perkahwinan.

Saya yakin, semua orang ingin menikmati kehidupan yang sangat menyeronokan dan mengidam-idamkan alam perkahwinan ataupun alam keluarga yang bahagia dan manis. Yang disuburkan dengan perasaan kasih sayang,cinta,iman dan taqwa kepada Sang Pencipta.


Tetapi realitinya kita lihat hari ini,banyak perkara yang berlaku berbeza dan jauh daripada apa yang kita gambarkan. Semakin hari semakin banyak kisah-kisah keretakan rumah tangga yang kita dengar,kes-kes penceraian juga semakin bertambah terutamanya di Malaysia. Ini satu fenomena yang sangat merunsingkan,yang membawa kepada rapuhnya institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita.

Puncanya sudah tentu banyak,tetapi ada satu faktor utama yang ingin saya ketengahkan,iaitulah soal yang berkaitan dengan kepercayaan,ketaatan dan perasaan cemburu diantara pasangan.

Cinta dan Cemburu.

Hakikatnya perasaan cinta ini dihiasi dengan perasaan cemburu. Perasaan cemburu itu adalah manifestasi perasaan cinta seseorang terhadap pasangannya. Sedang Ummul Mukminin ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha pun cemburu kepada isteri-isteri Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang lain. Ia adalah perasaan yang luhur dan fitrah.

Maka dalam konteks kita hari ini,dunia komunikasi tanpa batasan,banyak perkara boleh dilakukan hanya dengan satu klik pada tetikus ataupun papan kekunci komputer. Jadi dalam era yang mencabar ini,seorang suami seharusnya berusaha lebih gigih untuk memastikan tindak tanduknya tidak menimbulkan rasa cemburu dan perasaan perasangka isteri kesayanganya,dan begitulah juga sebaliknya.

Baik,ayuh kita tumpukan perbincangan ini kepada soal pergaulan. Saya tidak mahu panjang-panjangnya tulisan ini.

Cuba bayangkan,anda sudah berkawin dengan isteri kesayangan pilihan hati anda,namun setelah beberapa tempoh anda berkahwin,isteri anda tanpa rasa segan dan silu berchatting dengan lelaki-lelaki lain. Bukannya dengan lelaki yang tidak dikenali,tetapi dengan kawan-kawanya yang dikenalinya mungkin sewaktu dia menuntut di universiti dahulu. Dan perkara-perkara yang disembangkan pula bukanlah perkara-perkara yang penting pun,hanya ‘sembang-sembang ukhuwwah’ kononya dan ianya dihangatkan lagi dengan gelak ketawa. Di Facebook juga demikian,isteri anda menguploadkan gambar-gambar percutian bersama dengan anda,tetapi kawan-kawan lelakinya sibuk meninggalkan komen memuji kecantikan dan bentuk badan isteri anda. Sebagai seorang suami, sewaktu itu,apakah yang mungkin anda rasa?

Baik,dari sudut seorang isteri pula,bagaimana jika anda berkahwin dengan seorang jejaka yang kacak dan hot,yang tentunya pilihan hati anda. Namun dia sangat longgar dalam urusan menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan. Telefon bimbitnya sering mendapat panggilan rakan sekerja wanita,dan suami anda bercakap dengan nada sweet dengan rakan-rakan sekerjanya yang wanita itu. Ramai pula yang gedik, seksi,masih dara,isteri orang dan ada juga yang pangkat emak orang.

Di Facecook pula,suami anda sering mendapat komen-komen dan mesej-mesej di wall dan inbox yang memuji dan bermanja-manja dengan suami anda. Suami anda pula berhati lembut dan mulia orangnya,tidak sampai hati untuk tidak melayan mesej-mesej tersebut katanya,lalu dia menghabiskan banyak masa,modal ayat-ayat romantis dan lawak-lawak berkualiti dengan perempuan-perempuan tersebut. Bagaimana agaknya rasa perasaan anda sewaktu itu?

“Eh,ok je…buat apa nak cemburu,itu semua cemburu buta!” Jika ini yang anda katakan.

Maka anda sedang menghadapi masalah yang sangat besar dalam mendefinisi dan memahami bertapa mahalnya perasaan cinta yang Allah Azza Wa Jalla ciptakan dalam hubungan pasangan suami dan isteri.

Apa kaitannya dengan sekarang? Kita masih belajar,bukannya sudah berkahwin. Sudah kahwin nanti kita berhentilah.

Ya, inilah bisikan-bisikan syaitan untuk memerangkap kita. Apa yang menjadi tabiat kita sekarang,itu juga yang akan menjadi tabiat kita bila sudah berkahwin nanti. Jika sekarang ini kita sangat longgar dalam urusan pergaulan, suka sangat chat dengan lelaki sana,chat dengan perempuan sini,bergalak-galak komen di sana,bergedik-gedik komen sini (antara lelaki dan perempuan). Bagaimana mungkin kita boleh berhenti daripada tabiat ini sejurus sahaja kita memasuki alam perkahwinan nanti? Dan mungkin sahaja pasangan yang akan kita dapat juga,adalah daripada jenis-jenis yang begitu.

Oleh itu,demi untuk kebaikkan diri, sekarang dan masa hadapan,paksalah diri kita untuk menjaganya bermula daripada sekarang. Biar sakit sedikit sekarang,jangan merana sepanjang hayat nanti. Sebenarnya awal-awal sahaja yang agak susah, selepas anda sudah berjaya melepaskan diri anda daripada tabiat tersebut, anda akan menikmati ketenangan hidup yang sangat mengasyikkan. Percayalah,tak tipu.

Syadid (keras).

Adalah satu perkara yang sangat normal,jika kita bersikap dengan sikap seperti ini,terus sahaja kita dilekatkan dengan label syadid. Jangan risau,label ini tidak ada apa-apa nilai pun jika nak dibandingkan dengan apa sahaja ujian yang pernah dilalui oleh Junjungan Mulia Rasulullallah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dan semua orang yang mengikuti jejak langkah baginda untuk memastikan kita menikmati nikmat iman dan islam hari.

Namun begitu, menasihatkan orang pun ada cara dan hikmahnya,jangan hentam keromoh sahaja,kemudian bila dilabel itu dan ini,kita merasakan itu adalah ujian keatas dakwah yang kita jalankan. Sedangkan kesilapan sebenarnya lebih banyak pada pihak kita. Hal ini akan dijelaskan diakhir artikel ini. Inshallah

Respon kebanyakan

“Takkan nak berkawan pun tidak boleh? Jumud betul!” Marah seorang kakak.

“Kami bincang perkara berkaitan dengan akademik (dengan mood ultra ceria?),kamu itu yang suka bersangka buruk!” Berhelah seorang adik yang sedang membara semangat belajarnya.

“Saya berdakwah kepadanya,saya hantarkan hadith-hadith nabi dan kata-kata ulama’.Takkan kamu nak kata apa yang saya buat ini salah?” Soal seorang Ustaz yang ramai peminat.

Siapa kata tidak boleh? Jawab saya mudah.

Saya tidak mengatakan ia tidak boleh secara mutlak. Jika anda rasakan anda kuat,silakan. Jika anda yakin,anda tidak akan tertewas dengan kelicikan helah dan perangkap syaitan,teruskan. Jika anda merasakan hati anda mempunyai softwear ‘anti virus’ yang sangat kuat,yang boleh menepis apa sahaja jenis ‘gangguan perasaan’, semoga berjayalah saya ucapkan.

Percayalah,anda mungkin boleh menipu orang ramai,tetapi anda tidak akan mampu untuk menipu hati anda sendiri. Apatah lagi menipu Allah Azza Wa Jalla. Allah yang menciptakan kita,Allah tahu kelebihan dan kelemahan ciptaaNya.Oleh itu semua undang-undang,do and don’t yang Allah tetapkan sudah tentu adalah yang terbaik buat kita sebagai hambaNya yang sangat kerdil ini.

Firman Allah Azza Wa Jalla:
Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.
Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!
[al-Mulk 67 : 13-14]

Keliru

Ramai juga sahabat-sahabat kita yang keliru,mungkin kita juga seperti mereka satu ketika dahulu.
Status Facebook tegas berbicara soal adab pergaulan,tetapi dibawahnya diwarnai dengan komen-komen antara lelaki dan perempuan yang melangkaui sempadan adab yang dinyatakan pada status asalnya.

Begitu juga dengan blog.

Ada juga yang inginkan pasangan mereka itu nanti adalah orang yang menjaga adab pergaulan,tetapi dia sendiri sangat longgar dalam menjaga adab pergaulan. Bila ditanya mengapa begitu,jawapannya sangat genius. “Aku nak nilai,siapa yang soleh/solehah,jadi aku kena chat saja-saja dengan ramai orang,baru aku boleh tahu.”

Dan banyak lagi contoh-contoh keliru yang boleh dikongsikan,tetapi ramai yang saya rasa sudah tahu. Jadi anda boleh fikirkannya sendiri.

Nasihat

Saya kira ini adalah perkara yang paling penting dalam tulisan saya kali ini. Ramai orang yang kita lihat mungkin terkeliru,yang mungkin belum mendengar mesej kebenaran,yang mungkin lalai dek tidak ada orang yang sudi mengorbankan masa dan tenaga untuk membimbing mereka. Jadi disana terlalu banyak kemungkinan mengapa mereka berbuat demikian,mungkin sahaja latar belakang keluarga atau pendidikan mereka dan sebagainya. Oleh itu adalah tidak munasabah untuk kita menegur mereka dengan cara yang boleh memalukan dan melukakan hati mereka.

Cuba ingat, satu ketika dahulu,sewaktu kita juga lemas dalam kesilapan yang serupa,kita asyik menikmati perkara yang dilarang oleh pemilik alam semesta. Kalau bukan kerana sentuhan yang lembut dan berhikmah,mungkin sahaja sampai ke hari ini pun kita masih berada dalam kondisi yang sama.

Bayangkan jika kita ditegur dengan nada keras,dan cara yang menyakitkan,tentu sahaja kita akan mengangkat perisai ego kita untuk menepis semua mesej kebenaran. Masalahnya bukan pada mesej kebenaran,tetapi masalahnya pada akhlak orang yang menyampaikan kebenaran.

Ini adalah apa yang saya belajar daripada pengalaman,saya minta maaf banyak-banyak kepada sesiapa sahaja yang pernah terluka dengan cara saya yang silap. Saya doakan agar mereka diganjari pahala sebanyak-banyaknya,kerana kesabaran mereka telah membuatkan saya belajar banyak perkara tentang seni kehidupan.


Maka berhikmahlah dalam menegur,dan banyakan bersabar.

Mereka tidak garang!

Jesteru itu,ingin saya jelaskan bahawa golongan-golongan yang menggunakan gaya bahasa ‘monotone’ dengan lawan jantina ini bukanlah garang orangnya, jadi tidak perlu takut jika ingin berurusan,atau menyangka mereka ini sedang marah jika mereka menggunakan gaya bahasa ‘monotone’ketika berbicara. Mereka cuma berusaha sedaya upaya untuk menjaga diri mereka dan sebenarnya itu tanda mereka menghormati dan memuliakan anda ketika berurusan.

Tidak dinafikan,ada juga masa-masa kita ini sabagai insan akan tergelincir. Sebab itu Allah Azza Wa Jalla berikan peluang taubat yang seluas-luasnya.Tergelincir,taubat,berazam tidak mahu buat lagi. Kemudian tergelincir semula,taubat lagi dan begitulah seterusnya.

Simpan baik-baik semua gaya-gaya sweet,mood ceria happy go lucky,lawak-lawak first class,bahasa-bahasa manis,dan sentuhan ayat-ayat romantis  ketika berkomunukasi dengan lawan jantina khas untuk insan yang halal bagi kita suatu hari nanti.

Sekarang ini cukup untuk kita menggunakanya sesama ahli keluarga dan teman-teman sejantina. Kasihan teman-teman sejantina kita,mereka jarang-jarang sekali mendapat layanan istimewa daripada kita. Oleh itu manfaat masa dan peluang yang Allah AzzaWa Jalla berikan ini untuk kita meningkatkan kualiti diri,amal soleh,dan berusaha menjauhkan diri kita daripada perbuatan dosa dan maksiat. Insyallah.

Terima kasih  kepada sahabat yang telah menasihatkan saya,oleh kerana nasihatnya yang pendek itu,saya menulis sepanjang ini,semoga ia bermanfaat buat mereka-mereka yang membaca,dan semoga saham pahala akan mengalir kepada si pemberi nasihat itu.

Ingin saya kongsikan satu artikel yang menarik. Tulisan Ummu Saif berkait dengan isu kekeluargaan.

Suka juga untuk saya kongsikan nota ringkas nukilan sahabat saya Muhammad Amin yang sangat bermanfaat inshallah.

Saya juga merasakan 2 video ini ada manfaat yang berganda-ganda buat mereka yang pandai mengambil manfaat. Ia tidak hanya sesuai untuk mereka yang sedang mabuk bertunang,tetapi ia juga sesuai untuk semua Inshallah.





Artikel ini hanyalah cetusan fikiran dan rasa saya,boleh jadi ia salah belaka. Maka jika ada sebarang penambah baikan,atau pembetulan yang ingin disuarakan,saya sentiasa sedia untuk menerimanya.Inshallah


Semoga Allah ampuni semua kesilapan tulisan,kefahaman dan penyampaian saya ini.Seterusnya memberikan kita semua kecintaan kepada al-Qur'an dan as-Sunnah untuk terus gagah mentaati semua perintah Allah sehingga kita ini dipilih oleh Allah untuk ditempatkan di Syruga Firdaus yang Tertinggi.

Allahu A’alam
azlanshah | 25 Mac 2011
Irbid Jordan


8 comments:

hearttracker said...

macam2 =.="
biasalah.kena bwt jg artikel ni skali skala utk org lebih FAHAM.

Abu Hannan said...

Gambar Iklan tu betul2 garang la akhi...
=) artikel terbaik!

faiq zaini said...

isk.. baha pulak ya fb ni. hehe
kem salam org rumah. :)

Abdul Munir Sanusi said...

Panjang apa kata eden ringkaskan;-

"Kalau kita buat lebih-lebih kurang dengan perempuan lain, adakah kita nak orang lain buat lebih-lebih kurang dengan bakal bini kita."


Pikir, pikir, pikir. Macam contoh ada lelaki mengorat atau buat sexual harrasment dekat perempuan lain. Cuba, dia analogikan perempuan dia kacau tu mak dia, kakak dia, adik dia.


Amacam? Lu pikirlah sendiri.

-IBNU ROSLAN- said...

Akhi, memang menusuk post kali ni. Terbaik! Hakikatnya inilah realiti yang para remaja sedang hadapai bahkan dikalangan para Du'at sendiri. Seringkali tergelincir.

Ya Allah, peliharah hati kami dari tergelincir dan terleka walau seketika.

*Nak romantik2 dengan enta boleh la ni? :)

azlanshah said...

Maaf lambat respon,laptop masuk bengkel.

hearttracker: harapnya lebih ramai yang faham daripada yang salah faham.

Syaikh Sufian: anta tolong nasihat orang dalam gambar iklan tu,biar lembut siket ;)

Faiq : Kirim salam orang rumah boleh,tapi kalau suruh kirim salam 'orang rumah',itu bahaya,ana takut cemburu nanti.keh3 ;)

azlanshah said...

Dr Moon: Terbaik,Short and Sharp! TQ

Syaikh Ibn Roslan: MasyaAllah..Syaikh Kabeer merangkap pelakon terkenal komen sini,terharu ana..
*boleh je syaikh nak romantik-romantik,tapi 'dating shai adni' kita pun tak sempat-sempat lagi nak buat,anta sibuk sangat berdakwah,bagi lah sidikit masa untuk ana ;)

fatimatul aulia said...

Mumtaz! Ana setuju dengan semua coretan tersebut. Ana ingatkan muslimin yang mengamalkan konsep ini sudah hilang di telan zaman.Kawan2 ana sndiri membangkang konsep ini.Moga sama2 kita menjaga diri untuk mendapat keredhannya. Amin.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails