Pages

Saturday, April 23, 2011

Meriahkan Pilihanraya PERMAI 2011




Bismillahirrahmanirrahim

Pilihanraya PERMAI tiba lagi,satu fasa penukaran barisan kepimpinan yang serigkali mencetuskan pelbagai kontroversi dan masalah. Namun itu memang tabiat pilihanraya,lihat sahaja di mana-mana negara pun.Ia adalah perkara biasa.

Sehari dua ini kita membaca dan memerhatikan pelbagai ragam dan tindakan calon serta ahli yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam Pilihanraya PERMAI kali ini. Saya tidak ingin membazirkan masa mengulas pelbagai teori dan pandangan yang dilontarkan sepanjang tempoh ini. Kerana ia sangat jelas dan mudah untuk kita membezakan mana yang baik dan mana yang tidak,mana yang matang dan mana yang temberang.

Maka tulisan ini hanyalah untuk saya melontarkan pandangan sepuluh sen tentang calon-calon yang patut dipilih dan calon-calon yang  patut ditinggalkan dalam situasi yang melanda kita kali ini. Serta saya ingin berkongsi sedikit pengalaman,agar sahabat-sahabat yang bertanding akan mendapat gambaran realiti yang kadangkala jauh daripada apa yang kita sangka-sangkakan.

Calon yang patut dipilih.

Sudah tentu kita semua menginginkan seorang calon pemimpin yang matang dan berkarisma untuk menerajui kepimpinan persatuan kita yang sangat unik dan istimewa ini. Saya sudah letih mencari model persatuan pelajar Malaysia yang lain untuk dijadikan sebagai contoh,yang sama latar belakang dan konsepnya seperti persatuan kita,yang menggabungkan pelbagai bidang dan pemikiran,tetapi tetap juga hidup bersepadu. Buat masa ini,saya rasa PERMAI adalah satu-satunya persatuan yang sepertinya.

Sekarang ini,calon-calon yang perlu dipilih ialah mereka yang tenang dan professional dalam menyuarakan sebarang pandangan dan pendapat. Mereka yang peka akan sensitiviti hidup dalam kelompok masyarakat yang pelbagai. Mereka tahu apa yang patut dicakapkan,dan apa yang tidak patut.

Saya yakin,semua calon sekarang ini berada dalam keadaan risau dan agak tertekan,kerana mereka semua sangat beriman bahawa jawatan dan amanah itu adalah satu ujian yang besar daripada Allah Azza Wa Jalla. Semestinya mereka juga tidak cintakan jawatan dan kekuasaan,tambahan pula,berkerja di dalam PERMAI ini tidak akan menyebabkan anda menjana sebarang pulangan material yang lumayan.

Jadi, jangan bersangka mereka yang berdiam diri ataupun kelihatan tenang dan bersahaja itu adalah calon-calon yang sangat inginkan jawatan dan kedudukan. Sekurang-sekurangnya mereka sudah bersedia untuk menanggung beban kerja menguruskan komuniti kita. Itu sepatutnya dihargai dan tidak sepatutnya kita bersangka yang bukan-bukan.

Saya ingin mecadangkan nama beberapa orang calon yang saya yakin memenuhi ciri-ciri diatas, InsyaAllah. Mungkin boleh membantu genarasi baru untuk membuat pilihan,namun kita semua perlu tunggu bermulanya tarikh berkempen.



Calon yang patut ditinggalkan.

Agak berat untuk saya menulis dibawah tajuk kecil ini,namun untuk kebaikan semua,saya merasakan semua calon yang telah mengeluarkan sebarang kenyataan menolak pencalonan,lebih-lebih lagi yang mengeluarkan kenyataan yang kurang professional lebih baik kita tinggalkan.Ya,semua orang membuat kesilapan,dan menjadi kemestian untuk kita memaafkan. Tetapi saya rasa,dalam urusan memilih pemimpin yang bakal memimpin kita untuk tempoh masa yang panjang ini, mereka-mereka yang agak kelam kabut dalam menangani situasi yang agak genting (tidak genting mana pun) dan kurang mahir dalam mengendalikan komunikasi dengan pelbagai lapisan pemikiran dan latar belakang ini,tidak perlu kita letakkan mereka sebagai prioriti. Ramai sahaja calon-calon lain yang lebih matang dan bersedia,jangan risau.

Namun perkara ini tidak semestinya betul,kerana pilihanraya yang lalu telah menyaksikan beberapa orang calon yang bermati-matian menolak pencalonanya telah membuktikan bahawa dirinya adalah seorang pemimipin yang berjaya apabila dirinya tetap diangkat menjadi pemimpin.

Maka urusan untuk meninggalkan ataupun tidak itu bergantung kepada penilaian masing-masing. Mungkin anda dapat melihat sudut kelebihan tertentu yang orang lain mungkin tidak nampak dan begitulah sebaliknya. Bagaimanapun,adalah lebih baik untuk kita tidak memaksa sesiapa. Bak kata orang-orang tua, ”orang dah tak nak,janganlah paksa-paksa”.

Realiti Persatuan.

Persatuan adalah pentas untuk kita belajar mengurusakan diri sendiri dan menguruskan manusia.Kita akan belajar kemahiran dan cara mengurus kehidupan ini setiap kali kita merancang untuk menjayakan sesuatu, kemudian timbulnya masalah,dan kita pula bertanggungjawab untuk menyelesaikanya. Sungguh sebenarnya ia sesuatu yang mencabar dan menyeronokan bagi mereka untuk bersedia untuk mencabar dan melatih diri mereka.

Ramai orang yang menyangka bahawa bila kita masuk dalam persatuan,kehidupan kita akan menjadi sangat sibuk dan akan ada banyak masalah yang akan timbul dalam hidup kita. Ya benar,kesibukkan dan masalah akan sedikit bertambah,namun itu adalah perkara biasa,bukankah kehidupan ini adalah medan ujian? Medan untuk Allah Azza Wa Jalla menguji ketahanan ataupun keteguhan kita mendepani hidup walau apa pun yang ditakdirkan untuk kita tempuh? 

Tidak pernah kita mendengar mana-mana pemimpin persatuan yang tersangat sibuk sehingga tidak ada masa untuk solat,mengulangkaji pelajaran,makan dan tidur.Tetap sahaja ada banyak masa yang terbuang,kalau tidak percaya,silakan bertanya kepada mereka yang berpengalaman.

Hakikatnya hidup ini adalah ibadah keseluruhanya,maka pelbagai peristiwa dan ujian yang Allah Azza Wa Jalla turunkan silih berganti itu adalah satu proses untuk mematangkan kita, dan ia adalah satu bentuk peperiksaan untuk menguji ketulenan keyakinan (akidah) kita kepada yang Maha Esa. Jikalau tak masuk persatuan pun, kita sebagai manusia akan tetap diuji,tetap akan melalui ranjau dan asam garam dalam kehidupan,jadi “jangan kandangin pemikiranmu” Kata Sang Murobbi

Tempoh memimpin hampir setahun itu memang satu perjalanan yang agak panjang,ada masa kita tertekan,ada masa kita rasa seperti kita tidak boleh bertahan lagi,ada masa kemalasan luar biasa melanda,ada masa kita buat silap,ada masa kita kena tegur dan diperli dengan tajam oleh bos kita,ada masa juga kita buat kerja dengan perasaan derita terpaksa,namun itulah fitrah manusia yang sering lupa dan sering turun naik imannya.

Mungkin kita akan melalui semua itu dengan perasaan yang agak berat,namun percayalah,dengan berlalunya masa,hari berganti hari,minggu berganti minggu,bulan berganti bulan,kita akan nampak dengan jelas bertapa banyaknya perkara yang telah kita belajar,bertapa banyaknya perkara yang telah kita matang dalam melihat dan menilainya.

Paling penting,jangan fikir kita akan mengharungi semua ini berseorangan,akan sentiasa ada insan-insan yang soleh yang akan dihantar oleh tuhan untuk menasihatkan dan menyokong kita selama mana kita berdoa dan memohon kekuatan daripadaNya. Tidak lupa,ada juga masanya,kita akan rasa kita terpaksa berhenti berehat,dan pada masa itu timbalan kita ataupun team kepimpinan kita akan mengambil alih semua tugas-tugas kita demi memberikan kita laluan untuk kembali stabil,dan demikianlah juga sebaliknya.

Itu adalah perkara yang sangat normal dan biasa bagi mereka yang berkerja dalam satu kumpulan. Kita bukan robot yang tidak ada perasaan dan emosi,kita adalah manusia dan berkerja dengan manusia,sahabat-sahabat kita akan setia memahami dan tetap bersama,dan disitulah kita akan merasakan bertapa manisnya hakikat ukhuwwah yang ramai orang gagal menikmatinya. Percayalah!

Persepsi.

Ini satu lagi perkara yang sangat penting,buang persepsi orang yang berpersatuan ini cetek ilmu akademik dan rendah keputusanya peperiksaanya. Itu bukan kayu ukur yang betul,ia sangat-sangat bergantung kepada kualiti dan karektor peribadi seseorang. Bertapa ramai sahabat yang saya kenal mereka itu begitu aktif dalam kerja-kerja persatuan dan kemasyarakatan,namun ilmu dan keputusan mereka diatas kertas tetap juga mencanak tinggi.

Seterusnya,bulatkan kepercayaan kita bahawa,bila kita mendapat sesuatu amanah ataupun ujian,maka ia adalah diatas pilihan Allah Azza Wa Jalla,Allah Azza Wa Jalla tahu kemampuan,tahu kualiti,tahu kelebihan dan tahu kemahiran kita,sebab itu Allah Azza Wa Jalla pilih kita. Allah Azza Wa Jalla tidak akan mentakdirkan sesuatu dengan sia-sia,sama sekali tidak!

Istikharah dan Berbincang

Kita sebagai hamba Allah,tidak tahu apa yang baik,dan apa yang buruk untuk kita. Mungkin kita sangka sesuatu perkara itu baik untuk kita,tetapi bila kita beristikharah,Allah Azza Wa Jalla memalingkan hati kita,ataupun Allah Azza Wa Jalla menghalang atau menangguhkan kita daripada mencapai apa yang kita cita-citakan. 

Bila ia berlaku,maka ia tidak lain tidak bukan adalah isyarat daripada  Allah Azza Wa Jalla yang Maha Tahu bahawa perkara itu tidak baik untuk agama,kehidupan dan kesudahannya nanti untuk kita. Jesteru itu, tidak kiralah samada kita rasa masuk menjadi kepimpinan persatuan ini baik ataupun tidak,yang penting buat Solat Istikharah. Kemudian berbincang dengan sahabat-sahabat yang boleh dipercayai,kebiasaanya hasil perbincangan itulah yang akan mendorong kecenderungan hati dan memperkuatkan keputusan kita.

Berkaitan dengan Solat Istikharah boleh baca disini. Tulisan saya sewaktu  zaman gembeng  dahulu.

Sedikit nasihat untuk diri saya dan bagi semua sahabat-sahabat yang akan berkempen untuk Pilihanraya kali ini,boleh baca disini. Tulisan zaman saya runsing seperti mana runsingnya calon-calon tahun ini.

Saya menyeru kepada semua,sudah tiba masanya untuk kita merealitikan laungan retorik “Mahasiswa minda kelas pertama!” yang sudah sekian lama kedengaran. Jikalau setiap kali komuniti diuji,kita menjadi kalut,jangan salahkan mereka-mereka yang mentertawakan dan hilang percaya terhadap kredibiliti kita.

Sama-sama kita jadikan pilihanraya kali ini pilihanraya yang meriah. Meriah dengan cetusan-cetusan idea bernas dan pemikiran-pemikiran yang menggerakan komuniti kita ketahap yang lebih baik dan maju. Jangan benarkan sikap pesimis sebahagian golongan menghambarkan prestij persatuan kita.

Semoga dengan ujian ini Allah Azza Wa Jalla mengganjari kita pahala dan menggantikan setiap musibah yang melanda dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya. Jadikan fasa ini sebagai fasa untuk kita balik kepada Allah Azza Wa Jalla,perkemaskan solat,muhasabah dan berubah!

Salah silap,tolong betulkan.

Firdausi Aspirasi PERMAI

Sekian
Azlan Shah Nabees Khan
Irbid, Jordan.
23 April 2011

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails