Sudah hampir tiga bulan saya melangkah masuk ke dunia baru,dunia kerjaya.
Dunia yang sangat jauh berbeza dengan dunia yang sebelumnya. dunia dan zaman yang indah,yang sangat dirindui,zaman belajar,zaman sarjana muda.
Zaman itu telah banyak mengajar saya pelbagai makna dan warna hidup,bagaimana rasanya hati bila tersembam jatuh,dan untuk saya benar-benar faham dan mengerti hakikatnya,ianya perlu berlaku bukan sekali. Bagaimana pula rasanya bila disanjung ke puncak dunia,pujian kedengaran di kanan dan kiri. semuanya berlaku saling silih berganti,dan semua itu disusun Allah Azza Wa Jalla untuk saya terus belajar percaya,percaya mutlak kepada Dia sepenuh hati.
Terima kasih tuhan,belum satu pun peristiwa yang berlaku dalam hidup ini,yang padanya aku dapati tiada kebaikan. Tetap sahaja rahmat Mu mendahului ujian,dan tetap sahaja kasih sayang Mu memayungi musibah yang Engkau 'hadiah'kan.terima kasih tuhan,terima kasih!
Sangat banyak yang ingin diceritakan tentang zaman yang telah lalu,cuma dalam kesempatan ini,saya hanya ingin berkongsi sedikit cerita melangkah ke dunia baru. Ramai teman-teman yang sedang berusaha sehabis daya untuk menembusi tembok dunia kerjaya,namun catatan takdir tuhan belum mengizinkan,pun begitu,pada setiap langkah usaha mereka,moga-moga mengalir pahala dan kebaikan berganda, inshaAllah.
Sememangnya saya bukanlah pelajar terbaik dikalangan rakan-rakan sepengajian. Tidak pernah sekali pun sepanjang tempoh empat tahun, saya naik ke pentas untuk sebarang anugerah berkaitan periksa mahupun markah, kecuali pada hari anugerah yang terakhir,itu pun sebab memang semua kena ambil sijil tanda sudah 'merdeka'.
Tetapi Allah Jalla Wa 'Ala memilih saya untuk menjadi yang pertama mencuba nasib di dalam dunia industri perbankan islam dikalangan rakan-rakan sekelas. Tentu sangat besar hikmahnya,sedangkan beberapa hari sebelum pulang ke Malaysia pun,saya masih lagi berkata kepada teman-teman perkara yang sama,"aku tak rancang nak kerja bank balik ini"...
Affin Islamic Bank
Setelah melalui beberapa siri temu duga yang menduga iman di dada,akhirnya hati saya tenang menerima tawaran daripada Affin Islamic Bank Berhad untuk memulakan first job saya. Pengalaman temu duga mungkin boleh diceritakan lain kali dengan izin Allah.
Bermula 10 Oktober 2011 saya memulakan tugas di Menara Affin yang terletak di Jalan Raja Chulan Kuala Lumpur. Sekali lagi saya terpaksa meninggalkan keluarga tercinta jauh di selatan tanah air,belum sampai sebulan saya pulang dari Jordan,saya sudah sibuk ke Kuala Lumpur untuk menghantar resume dan menghadiri sesi temu duga. Tidak silap saya,dalam tempoh masa 40 hari hampir sepuluh kali saya berulang alik ke Kuala Lumpur untuk tujuan mendapatkan kerja dan disamping menghadiri pelbagai program pembangunan jiwa. Terima kasih diucapkan kepada keluarga saya yang sangat memahami dan tidak putus-putus meniupkan semangat motivasi dan menitipkan doa sepenuh hati.
Kini saya ditempatkan di bawah jabatan Shariah Supervisory Affin Islamic Bank Berhad. Skop tugas saya di khususkan di bawah Shariah Compliance and Review Unit yang mana bertindak memantau dan memastikan semua operasi dan dokumentasi setiap transaksi dan aktiviti ibu pejabat dan cawangan-cawangan Affin Bank seluruh Malaysia adalah patuh shariah.
Alhamdulillah,buat masa ini saya merasakan tugas ini menarik dan mencabar,saya dapat mempelajari industri perbankan islam secara praktis dari skop yang pelbagai. Bila mana saya perlu memeriksa sesuatu,sudah tentu saya perlu berhempas pulas memahami apa yang perlu diperiksa,dan hanya dengan kefahaman yang baik,saya akan dapat mengesan sebarang masalah yang berkaitan.
Jesteru itu,bila mana tugas unit ini melibatkan semua cawangan-cawanganya di seluruh negara,sudah tentu 'berjalan' sudah menjadi satu kemestian. Dalam tempoh hampir dua bulan ini,saya sudah berpeluang untuk outstation ke Johor,Perak,Pulau Pinang dan sekitar negeri Selangor. Alhamdulillah,jauh perjalanan,luas pengalaman,ramai kenalan. Kena rasanya dengan jiwa saya yang suka mengembara.
Kebiasanya bila di sebut tentang berkerja di bank,kebanyakkan orang akan berkata, kerja bank adalah kerja yang penuh dengan tekanan,keserabutan,balik lewat malam,keluar rumah gelap,pulang ke rumah pun gelap dan sebagainya. Tidak ada sifir mudah untuk hal ini,ia bergantung,setiap syarikat ada musim sibuk dan musim biasa,bergantung juga kepada jenis dan besar mana bisnes syarikat yang kita bekerja. Namun buat masa ini,saya masih lagi keluar rumah cerah,dan pulang ke rumah pun cerah.Alhamdulillah.
Seperkara yang membuatkan saya teruja ialah boss saya. Beliau sudah belasan tahun bermain di dalam dunia industri perbankan islam,seorang ustaz yang sangat tegas tetapi inspiring. Bab kerja jangan dibuat main,siaplah jawabnya. Setiap kali ada urusan kerja yang memerlukan pengesahan beliau,sejuk keringat kami dibarisan prebet. Tetapi bila diajak bersembang isu-isu kehidupan,beliau adalah seorang pendengar yang baik serta sangat suka berkongsi sudut pandang dan idea. Syaratnya kena berfikiran kritis dan kritikal untuk mengikut rentak sembang beliau.
Banyak pesanan yang diberikan tentang sikap yang sepatutnya ada pada orang shariah bertugas di dalam dunia koprat. Perlu berkelakuan kelas pertama,tepati masa,hasil kerja kemas dan mantap,tegas mempertahankan prinsip shariah,jangan di jual agama kepada harga semurah dunia dan sebagainya.
Syukur tak terhingga kepada Allah Azza wa Jalla diatas peluang,rezki dan nikmat ini,dipilih menjadi salah seorang ejen yang bertugas menyelamatkan manusia daripada dosa riba',dosa yang di ancam dengan pengisytiharan perang daripada Allah dan RasulNya.
cukup rasanya cerita ringkas-ringkas dahulu,dikesempatan lain,mungkin boleh dikongsikan banyak lagi cerita-cerita dunia kerjaya yang banyak berlegar di kepala, tetapi dibatasi masa yang sering memecut laju meninggalkan manusia dalam kerugian.
Saya kini sedang sibuk merisik calon,bukan calon isteri,tetapi calon universiti untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Bercadang untuk buat master sambil kerja. Kalau belum mampu pun,paling kurang buat kursus atau diploma sementara nak ada bajet yang secukupnya untuk master.
Mohon doa semua agar saya dipertemukan dengan universiti atau institut yang terbaik dan tepat dengan jiwa saya.
jaga diri,jaga keluarga,jaga kawan-kawan.
sekian.
percaya,Allah tahu yang terbaik.
*sungguh,mereka-mereka yang rajin menulis walaupun sangat sibuk bekerja,mereka sangat kuat!



3 comments:
tahniah!
kadang-kadang terasa futur dengan 'dunia ustaz korporat' ini, tetapi memikirkan tanggungjawab dan amanah...tetaplah jua teruskan...hehe
moga terus thabat dan maju kehadapan. :)
untunglah duduk bank yang banyak branches, bolehlah travel...huhu
jemput dtg UIA buat master,bleh jaga tarbiyyah kami kat sini.sheikh jordan bg taujih sdp skit.hehe
haritu ustzh husna kasi hint :
duduk bank banyak cbran. akan ade mase "no life"...
tapi, dengar cerite senior jd kuat untuk terus ke industri perbankan!
tahniah!!!
Post a Comment